Menitip Salam ke Bourges

Dah lama betul tak berhubung dengan Tallis. Beliau seorang muslimah Perancis yang asalnya beragama Katolik. Kami berkenalan melalui sebuah laman sesawang perniagaan yang berpusat di Amerika. Bermula dengan salam perkenalan dan pertanyaan tentang produk perniagaan internet masing-masing, kami menjadi rakan maya. Penguasaan bahasa Inggeris nya boleh dikatakan lemah, tetapi itu tidak menghalang kami untuk terus berhubungan baik.

Saya sukakan perkenalan kami kerana Tallis datang dari benua yang berbeza. Sememangnya saya gemar
meramaikan kenalan dari luar negara. Banyak perkara-perkara yang tidak wujud di dada akhbar atau media massa lain boleh diperolehi melalui rakan-rakan seperti ini. Berbalik kepada Tallis. Sudah hampir 4 bulan kami tidak bertanya khabar.

Entah kenapa semalam terdetik di hati untuk
menulis emel kepadanya. Emel saya dibalas agak panjang.Tallis meminta maaf kerana sudah lama tidak menghubungi saya dan emel yg terkemudian saya kirimkan padanya tidak pun dibalas. Kata Tallis, beliau sibuk dengan urusan perniagaannya. Kata Tallis lagi, hari-harinya sebagai muslimah semakin sukar di bumi Perancis. Dia terdesak dengan tuntutan keluarga (yang masih Katolik) untuk meninggalkan hijab yang dipakai. Apatah lagi tinggal di Bourges yang rata-ratanya didominasi penganut Kristian yang mengalami sindrom Islamophobia. Kata Tallis

"Hidup saya penuh kesukaran namun saya percaya segala kepayahan ini adalah untuk saya merasai kemanisan sebuah keimanan"


Hingga kini saya tidak membalas emel Tallis.

Ingin sekali saya memberi kata-kata perangsang padanya. Tetapi tiap kali itu saya terhenti. Saya tidak pernah
berada di tempatnya. Tidak pernah merasa payah untuk menjalani kehidupan seorang muslimah. Layakkah saya menasihatinya? Apakah yang akan saya benar-benar lakukan andai saya bertukar tempat dengan Tallis?